Apa itu Covid-19 ?
Kini dunia digemparkan dengan Coronavirus atau dikenali sebagai Covid-19. Tapi apakah yang anda tahu tentang Covid-19.
Wabak koronavirus atau dikenali sebagai Covid-19 ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh koronavirus yang sedang berlaku secara global yang berpunca daripada koronavirus (SARS-CoV-2). Wabak ini pada mulanya dikesan pada pertengahan Disember 2019 di bandaraya Wuhan, Hubei, China, dan telah diiktiraf sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac 2020.
Sebilangan besar orang yang dijangkiti virus COVID-19 akan mengalami penyakit pernafasan ringan hingga sederhana dan pulih tanpa memerlukan rawatan khas. Orang yang lebih tua, dan mereka yang mempunyai masalah perubatan seperti penyakit kardiovaskular, diabetes, penyakit pernafasan kronik, dan barah cenderung untuk menghidap penyakit serius. Virus ini kebanyakannya menular dengan cara yang serupa dengan virus influenza, melalui titisan pernafasan daripada batuk atau bersin. Perkara ini selalu diambil mudah apabila seseorang menerima tanda gejala, walaupun penyebarannya mungkin telah terjangkit sebelum gejala muncul. Kebiasaannya gejala akan muncul 5 hari selepas virus ini memasuki badan mangsa. Gejala yang biasa ditemui termasuklah demam, batuk, dan sesak nafas. Komplikasi mungkin termasuk radang paru-paru dan sindrom kesukaran pernafasan akut. Buat masa ini tiada vaksin atau rawatan antiviral tertentu.
Langkah-langkah pencegahan yang disyorkan termasuklah membasuh tangan, menutup mulut apabila batuk, mengekalkan jarak 1 meter dari orang lain (terutamanya mereka yang tidak sihat), dan pemantauan dan pengasingan diri selama 14 hari untuk orang yang mengesyaki mereka dijangkiti.



Comments
Post a Comment